Sunday, February 16, 2014

Nabi Musa dan Dua Gadis Madyan

haya
Nabi Musa dan Dua Gadis Madyan
Dalam al-Quran mencatatkan sebuah kisah yang unik antara lelaki soleh iaitu Nabi Musa ‘alaihissalam dan dua gadis solehah di Madyan.
وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِنْ دُونِهِمُ امْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ (23)
Dan tatkala dia sampai di sumber air negeri Madyan, dia mendapati di sana sekumpulan orang yang sedang memberi midnum [haiwan ternakan mereka], dan ia mendapati di belakang orang ramai itu terdapat dua orang wanita yang sedang terpisah daripada orang ramai itu. Musa berkata: “Apakah tujuan kamu berdua [dengan berbuat begitu]?” Kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum [kepada ternakan kami], sebelum pengembala-pengembala itu bersurai sedangkan bapa kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya”. (23)

فَسَقَى لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّى إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ (24(
Maka Musa memberi minum [kepada haiwan ternakan] milik dua wanita itu itu, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”. (24)
فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا فَلَمَّا جَاءَهُ وَقَصَّ عَلَيْهِ الْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ نَجَوْتَ مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (25(
Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang daripada kedua wanita itu berjalan dalam keadaan malu, dia berkata: “Sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar dia dapat memberi balasan terhadap [kebaikan]mu memberi minum [kepada haiwan ternakan] kami”. Maka tatkala Musa mendatangi bapa perempuan itu dan menceritakan kepadanya cerita [mengenai dirinya]. Bapa perempuan itu berkata: “Janganlah kamu takut. Kamu telah selamat daripada orang-orang yang zalim itu”. (25) [al-Qasas, surah 28, ayat 23-25]
Kisah ini diceritakan secara detil dalam riwayat ‘Umar al-Khattab berikut:
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ ، أَنَّ مُوسَى عَلَيْهِ السَّلاَمُ لَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ النَّاسِ يَسْقُونَ ، فَلَمَّا فَرَغُوا أَعَادُوا الصَّخْرَةَ عَلَى الْبِئْرِ ، وَلاَ يُطِيقُ رَفْعَهَا إلاَّ عَشْرَةُ رِجَالٍ ,
‘Umar bin al-Khattab radiallahu ‘anhu menceritakan bahawa Nabi Musa ‘alaihissalam ketika dia sampai di sumber air Madyan (iaitu sebuah perigi), dia mendapati ada sekumpulan manusia sedang memberi minum (kepada haiwan ternakan mereka). Selepas mereka selesai, mereka meletakkan semula batu yang besar di atas perigi itu (sebagai penutup). Tidak ada yang mampu mengangkat batu itu kecuali sepuluh orang lelaki.
فَإِذَا هُوَ بِامْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ ، قَالَ : مَا خَطْبُكُمَا فَحَدَّثَتَاهُ فَأَتَى الْحَجَرَ فَرَفَعَهُ ، ثُمَّ لَمْ يَسْتَقِ إلاَّ ذَنُوبًا وَاحِدًا حَتَّى رُوِيَتِ الْغَنَمُ وَرَجَعَتِ الْمَرْأَتَانِ إلَى أَبِيهِمَا فَحَدَّثَتَاهُ , وَتَوَلَّى مُوسَى عَلَيْهِ السَّلاَمُ إلَى الظِّلِّ ، فَقَالَ : {رَبِّ إنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ}.
Dia melihat dua orang gadis yang terpisah (daripada orang ramai), Nabi Musa ‘alaihissalam bertanya: Apakah urusan kalian sebenarnya? Lalu kedua gadis itu menceritakan hal mereka. Lalu Musa ‘alaihissalam pergi ke arah batu (yang menutup perigi itu) lalu mengangkatnya. Tidaklah sempat kambing itu menghabiskan sebekas air melainkan rasa dahaganya telah hilang. Lalu kedua gadis itu pulang kepada ayah mereka dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi Musa ‘alaihissalam pula berpaling menuju ke tempat untuk berteduh, lalu dia berdoa: Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku

قَالَ : {فَجَاءَتْهُ إحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ} وَاضِعَةً ثَوْبَهَا عَلَى وَجْهِهَا ، {قَالَتْ إنَّ أَبِي يَدْعُوك لِيَجْزِيَك أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا} قَالَ لَهَا : امْشِي خَلْفِي وَصِفِي لِي الطَّرِيقَ , فَإِنِّي أَكْرَهُ أَنْ تُصِيبَ الرِّيحُ ثَوْبَك فَيَصِفَ لِي جَسَدَك ،
((Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang daripada kedua wanita itu berjalan dalam keadaan malu, dia berkata)) iaitu si gadis itu menutup wajahnya dengan pakaiannya. ((Dan selepas si gadis berkata: Sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar dia dapat memberi balasan terhadap [kebaikan]mu memberi minum [kepada haiwan ternakan] kami)) Nabi Musa pun menjawab: Berjalanlah di belakang aku, dan beritahu kepada aku jalan (menuju ke rumah engkau). Sesungguhnya aku tidak suka jika angin meniup pakaian mu, lalu akan ternampaklah bentuk tubuh mu kepada ku. [Musannaf Ibn Abi Syaibah, no : 32503]
Dalam Tafsir al-Quran al-Azhim dinukilkan ‘Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu berkata:
جاءت تمشي على استحياء، قائلة بثوبها على وجهها، ليست بسلفع  خَرَّاجة ولاجة
Gadis itu datang dalam keadaan malu, dia meletakkan kain pakaiannya di atas wajahnya, dia bukanlah gadis yang sesuka hati ke sana ke mari.
Kisah Nabi Musa ‘alaihissalam ini mengajar kita beberapa aspek penting dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan bukan mahram:
1) Sifat Malu – Malu merupakan asas dalam hubungan lelaki dan perempuan. Ia sebagaimana ditunjukkan oleh gadis-gadis di atas. Malu itu bukan hanya sifat seorang gadis, bahkan ia sifat yang perlu dimiliki oleh kaum lelaki jua.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” أَشَدَّ حَيَاءً مِنَ الْعَذْرَاءِ فِي خِدْرِهَا
Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu berkata: Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lebih pemalu daripada anak dara yang berada di dalam tandunya. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, hadis no: 3320]
2) Menjaga batas komunikasi antara bukan mahram – Apabila telah adanya sifat malu, maka akan terkawallah batas komunikasi antara dua gender. Lihat bagaimana Nabi Musa ‘alaihissalam tidak mengambil kesempatan untuk ‘mengorat’ atau bermesra dan bergurau senda dengan si gadis itu, dan si gadis itu juga tidak melakukan hal yang sama.
3) Sifat malu tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk membantu bukan mahram hatta yang muda ketika memerlukan bantuan. Berapa ramaikah daripada kita yang zahirnya Islamik, tetapi membiarkan sahaja ketika melihat kaum Hawa mengangkat barang yang berat? Sedangkan Nabi Musa ‘alaihissalam sudah menunjukkan contoh yang sangat baik.
Di sini kita boleh katakan, asas hubungan lelaki dan perempuan ialah sifat MALU. Mereka yang mempunyai sifat malu tidak akan bergurau senda dengan bukan mahram, tidak akan berpegangan tangan, tidak akan bersalaman, tidak akan membuka auratnya. Pokoknya, jika hilang sifat malu ini, berlakulah banyak kerosakan. Sifat malu ini pula hendaklah diseimbangkan seperti mana dalam kisah Nabi Musa, sifat malu tidak menghalang untuk komunikasi tatkala ada keperluan, dan saling tolong menolong apabila dalam kesusahan.
Pembaca, marilah kita mempunyai sifat malu.
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ ” .
Abu Mas’ud radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:  Sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui oleh manusia daripada perkataan kenabian terdahulu adalah : “Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesuka hati mu”. [Sahih al-Bukhari : 3250]
عَنْ أَبِي السَّوَّارِ الْعَدَوِيِّ ، قَالَ : سَمِعْتُ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ ، قَالَ : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” الْحَيَاءُ لَا يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ “
Abu As-Sawwar al-’Adawi berkata: Aku mendengar ‘Imran bin Hussain radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidaklah sifat malu itu muncul melainkan dengan kebaikan. [Sahih al-Bukhari : 5681]
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً ، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيمَانِ
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Iman ada lebih daripada enam puluh cabang, sifat malu merupakan satu daripada cabang keimanan. [Sahih al-Bukhari : 8]
عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ ، قَالَ : قَالَ ابْنُ عُمَرَ : ” إِنَّ الْحَيَاءَ وَالإِيمَانَ قُرِنَا جَمِيعًا ، فَإِذَا رُفِعَ أَحَدُهُمَا رُفِعَ الآخَرُ ” .
Sa’id bin Jubair berkata: ‘Abdullah bin ‘Umar radiallahu ‘anhu berkata: Sesungguhnya sifat malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satu hilang, maka hilanglah yang lain. [Al-Iman oleh Ibn Abi Syaibah : 20]

No comments: