Monday, July 15, 2013

Tokok Tambah Dalam Ibadah Puasa! (Bhg.2)


(2) Mewajibkan lafaz niat
Membaca lafaz niat untuk berpuasa atau untuk apa-apa ibadah lain seperti wudhu dan solat sebenarnya adalah tidak perlu, jauh sekali daripada bersifat wajib. Yang wajib adalah seseorang itu mengetahui dengan sedar ibadah apa yang bakal dilakukannya. Jika seseorang itu lazimnya diganggu dengan perasaan was-was, maka dianjurkan melintaskan di dalam hati sekadar “Inilah puasa aku” atau “Inilah solat Zohor aku”. Jika masih was-was maka boleh menyebutnya secara lisan untuk mengukuhkan lintasan hati. Jika setelah itu masih was-was, maka janganlah diberi perhatian kerana ia tidak lain adalah permainan syaitan.


(3) Menetapkan waktu imsak
Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. (al-Baqarah 2:187)