Friday, November 29, 2013

Hadith Wasiat untuk Pengantin?


Soalan:


Saya mahu tanya tentang kesahihan hadis ini:
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pernah berkata pada menantunya Ali r.a: “Wahai Ali, apabila pengantin perempuan masuk ke dalam rumahmu, maka suruh tanggalkan kasutnya ketika dia duduk & membasuh kedua-dua kakinya. Maka sesungguhnya apabila kamu berbuat demikan Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengeluarkan 70 jenis kefakiran dari rumah kamu dan Allah menurunkan 70 rahmat yang sentiasa menaungi di atas kepala pengantin sehingga keberkatan itu meratai penjuru rumahmu & pengantin itu sejahtera dari penyakit gila, sawan, dan sopak selama mana dia berada di dalam rumah tersebut. Laranglah pengantin itu daripada makan & minum 4 jenis makanan ini: susu, cuka, ketumbar, & epal masam

Saidina AlI bertanya: Kenapa?
Baginda menjawab: “Kerana rahim perempuan itu kering & sejuk dengan ini sebab dari 4 perkara (makanan) ini untuk menghalang dari dapat anak. Sesungguhnya tikar di penjuru rumah adalah lebih baik daripada perempuan tidak dapat anak”.

Saidina Ali bertanya lagi: Kenapa cuka dilarang (semasa haid & seminggu pertama perkahwinan)?

Baginda menjawab: “Apabila minum cuka semasa haid, sesungguhnya haidnya itu tidak bersih selama-lamanya”



Jawapan:


Kata-kata yang dianggap sebagai hadith ini dinilai PALSU oleh:
- Ibn Jauzi dalam al-Maudhuaat 2/267
- Suyuti dalam al-Laali 2/142
- Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmuah m/s 126
- Albani dalam Silsilah Dhaifah (no: 3305)

Ia dinilai PALSU kerana di dalamnya terdapat: 
Abdullah bin Wahb al-Nasawi: Seorang dajjal (sangat berdusta), yang mereka-reka hadis terhadap perawi-perawi thiqah.

*Kesimpulannya:
1) Ia adalah kata-kata yang direka oleh seorang pendusta yang menisbahkan apa yang direkanya itu kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, maka ia tidak dijadikan asas dalam Islam.
2) Berbalik kepada kaedah umum dalam urusan muamalat (urusan selain ibadah) iaitu:
"Asal sesuatu perkara itu adalah HARUS, kecuali ada dalil yang melarang dari melakukannya".
3) Maka dalam konteks hadith di atas, ia merupakan hadith PALSU (dalam istilah hadith disebut Maudhu'). Tidak harus beramal dengannya.
4) Jika sekiranya makanan-makanan yang disebutkan di atas (epal hijau dan lain-lain) ternyata benar memberi kesan kepada kesuburan seorang wanita dari sudut perubatan, maka kita masih tidak boleh menyandarkan kenyataan ini sebagai "kata-kata Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam" kerana ia adalah pembohongan yang jelas ke atas Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, dan baginda telah bersabda:


"مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ"

"Barangsiapa berdusta terhadapku maka hendaklah ia persiapkan tempat duduknya di neraka."
  (Hadith riwayat Imam al-Bukhari, Kitab Ilmu, Bab Dosa Orang yang Berdusta Atas Nabi Sallallahu 'Alaihi wasallam: 104)

5) Makan dan minumlah apa sahaja yang disukai KECUALI makanan-makanan dan juga minuman yang telah jelas diharamkan oleh Islam seperti arak, bangkai, babi dan lain-lain.
6) Islam adalah sebuah agama yang membawa rahmat kepada pengikutnya. Islam meraikan kehendak-kehendak manusia kecuali sedikit sahaja perkara yang dilarang bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia sendiri.

Wallahu A’lam



No comments: