Tuesday, November 5, 2013

Cahaya di atas Cahaya


Di dalam pelajaran yang lepas dari Surah An-Nur ini, Al-Quran memperkatakan tentang galakan untuk berkahwin dan mengahwinkan mereka yang merdeka tidak kira lelaki mahupun perempuan yang masih tidak mempunyai pasangan, begitu juga hamba-hamba yang baik dan bertaqwa berserta dengan jaminan dari Allah bahawa Dia akan memberikan rezeki kepada mereka. Seterusnya dijelaskan pula galakan untuk membebaskan hamba dan larangan untuk menjadikan mereka pelacur. Di akhir ayat ini diiringi dengan satu ulasan yang menjelaskan sifat Al-Quran yang sesuai dengan topic pembicaraannya dan suasananya: 

﴿وَلَقَدْ أَنْزَلْنَا إِلَيْكُمْ آيَاتٍ مُبَيِّنَاتٍ وَمَثَلًا مِنَ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ وَمَوْعِظَةً لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberikan penerangan yang jelas dan contoh dan contoh teladan dari umat-umat yang telah berlalu sebelum kamu serta nasihat pengajaran kepada para Muttaqin”.

            Di dalam ayat ini Allah ‘azza wajalla menyatakan bahawa Dia sendirilah yang telah menurunkan ayat-ayat Al-Quran yang terang jelas ini, dengan mengemukakan beberapa bukti yang jelas dan nyata akan sifatNya yang Maha Esa, dan Allah subhanahu wa ta’ala jualah yang mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan undang-undang yang dapat membawa manusia dan masyarakat umumnya mencapai kebahagiaan.

Setelah itu Allah subhanahu wa ta’ala membuat DUA PERBANDINGAN iaitu yang berkaitan dengan:
  1. Dalil-dalil mengenai keesaan Allah subhanahu wa ta’ala dan keimanan kepadaNya dengan jelas dan nyata sekali 
  2. Menyatakan bahawa semua agama yang dianuti oleh orang kafir itu dipenuhi oleh kegelapan dan kesamaran. Dengan membuat perbandingan dalil-dalil yang dibawa oleh Islam selepas itu dipakai oleh agama-agama lain, dapatlah diambil kesimpulan yang melahirkan kebenaran yang terang bagaikan sinar matahari.
﴿اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

"اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ"
Maksudnya: Allah lah yang menerangi langit dan bumi

"مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ"
Bandingan nur hidayah petunjuk Allah adalah seperti sebuah ‘misykat’ yang berisi sebuah lampu

"الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ"
Lampu itu dalam geluk kaca 

"الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ"
Geluk kaca itu pula laksana bintang yang bersinar cemerlang

"دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ"
Lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok yang banyak manfaatnya; pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya

"يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ"
Hampir-hampir minyaknya itu memancarkan cahaya bersinar walaupun ia tidak disentuh api

"نُورٌ عَلَى نُورٍ"
Cahaya berlapis cahaya

 "يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ"
Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nur hidayahNya itu

 "وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ"
Dan Allah mengemukakan beberapa contoh perbandingan untuk umat manusia

"وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ"
Dan Allah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu

  • Di dalam ayat ini dijelaskan bandingan cahaya petunjuk Allah subhanahu wa ta’ala menyinari hati orang yang beriman adalah ibarat sebuah lampu yang terang-benderang yang terletak pada tempat kurungannya. 
  •  Bertambah pula cerah cahayanya apabila lampu itu diletakkan dalam sebuah geluk kaca yang mana kerana jernihnya kaca tersebut menjadikan cahaya lampu itu gemerlapan laksana bintang di langit yang bersinar cemerlang. 
  • Lebih-lebih lagi minyak lampu itu daripada pokok zaitun yang ditanam di kawasan yang sentiasa mendapat sinaran matahari (ditanam dilereng bukit), yang menyebabkan pokok zaitun ini menghasilkan minyak yang sangat jernih yang mana digambarkan seolah-olah minyak itu sendiri memancarkan cahayanya (kerana terlalu jernih) walaupun tanpa dinyalakan api. MasyaAllah….Maha Bijaksananya Allah ‘azza wajalla dalam mengatur setiap sesuatu. Tanpa disedari dalam ayat yang menggambarkan keadaan orang mu’min dan orang kafir ini, Allah subhanahu wa ta’ala menyelitkan satu ILMU PERTANIAN di mana diajarkan kepada kita bahawa untuk mendapatkan hasil terbaik dari pohon zaitun, maka pokok zaitun itu hendaklah ditanam di kawasan lereng bukit yang mana ia akan menerima cahaya matahari ketika matahari terbit dan juga terbenam,

Imam at-Tabari menyatakan: ''Demikianlah perbandingan dan kiasan Allah subhanahu wa ta’ala mengenai al-Quran ini di dalam hati setiap orang yang beriman ; dengan menyatakan bahawa nur Allah subhanahu wa ta’ala yang dinyalakan untuk para hambaNya untuk mencapai jalan kebenaran itu tidak ubahnya dengan suatu ruang di dinding sebuah rumah yang terpasang lampu di dalamnya. Lampu di dalam kaca ialah kiasan kepada al-Quran di dalam diri setiap orang beriman itu yang diterangi Allah subhanahu wa ta’ala hatinya dan menyelamatkannya daripada kekufuran dan kekaburan laksana bintang yang bersinar terang-benderang, yang dinyalakan dengan minyak zaitun yang diberkati, dan terus menyinar tidak kira waktu pagi, ketika matahari sedang berada di ufuk timu dan petang ketika matahari sedang berada di ufuk sebelah barat.

      Demikianlah kiasan dan perbandingan yang Allah subhanahu wa ta’ala berikan dalam ayat ini, yang mampu memberikan cahaya kebenaran kepada setiap orang yang ingin berfikir, walaupun tanpa ditokok tambah dengan kurnia Allah subhanahu wa ta’ala berupa Al-Quran ini; dan memang Allah subhanahu wa ta’ala telah memberikan keterangan itu kepada mereka melalui ayat-ayatNya yang jelas nyata. Demikianlah nur dan kurnia Allah subhanahu wa ta’ala untuk difahami dan dihayati.’’ (At-Tobari, 18:10)

Ikuti tafsiran lengkap ayat ini di sini:

https://archive.org/details/HTAN-Musim2-04


Rujukan:
Tafsir Al-Quran al-'Azim (Tafsir Ibnu Kathir)
Tafsir Mubin oleh Salahuddin Abdullah, Omar Khalid

No comments: